
Ramai yang tanya saya tips ni. Pengalaman putus susu dengan bersama Fatimah dan Ali saya kongsikan di sini. Tak ready lagi nak putus susu dengan Isa. Tapi masa itu akan tiba juga.
Saya cuba lakukan proses putus susu ini perlahan-lahan. Saya ambil masa berbulan-bulan juga untuk berjaya putus susu sepenuhnya.
Ada ibu yang cuma ambil masa beberapa hari sahaja. Tapi saya akui yang saya sendiri tak kuat. Jadi saya ambil pendekatan perlahan tapi konsisten setiap hari.
Proses putus susu agak mencabar sebab melibatkan emosi ibu dan anak. Perlu dilakukan dengan berhemah agar emosi anak tak tercalar dan tangki emosinya dipenuhi dengan kasih sayang.
Paling penting, lakukanlah putus susu bila anak sudah sampai tempoh usianya. Usah biar menyusu sampai anak besar sehingga lebih 3 tahun kerana pakar perkembangan kanak-kanak sendiri tidak setuju kerana ia ada impak terhadap perkembangan percakapan dan sosial anak itu sendiri.
Antara 5 tips yang saya lakukan:
- Beritahu anak dengan lembut dan jelaskan mengapa perlu putus susu.
Saya beritahu anak-anak yang mereka dah besar, dan tak perlu menyusu dengan saya lagi. Saya cuba beritahu setiap kali anak saya buat permintaan nak menyusu.
- Isikan tangki emosi anak
Anak akan ekspresikan rasa kecewa bila diberitahu yang dia tak boleh menyusu dengan ibunya. Seolah dia akan hilang kasih sayang ibunya.
Maka, saya gantikan dengan memeluk dan mendodoi dia setiap kali mahu tidur. Kami berpelukan erat, melakukan aktiviti menyeronokkan sehinggalah anak saya boleh tertidur sendiri tanpa menyusu.
- Alihkan perhatian anak
Beri dia aktiviti baca buku sebelum tidur atau bermain alat permainan yang menyeronokkan atau sesi bercerita setiap kali dia ingin menyusu. Dengan alihkan perhatian buatkan anak lupa permintaan nak menyusu tadi.
- Ibu kena kuat mental dan emosi
Saya akui part ini saya sendiri tak kuat. Kali pertama saya nak putus susu dengan Fatimah dulu, saya guna peppermint dan sapu di puting.
Fatimah terus ‘reject’ dan saya terkejut sebab tak sangka secepat itu. Saya rasa agak drastik dan memujuk semula Fatimah menyusu dengan saya. Memang payah bila cakap tentang emosi nak putus susu ni.
Selepas beberapa bulan, bila saya sudah bersedia, saya mulakan balik proses ini. Alhamdulillah saya dan Fatimah lebih bersedia walaupun kami ambil masa beberapa bulan juga untuk menjayakannya.
- Kurangkan masa dan rutin memerah
Ini juga penting supaya ibu tak mengalami masalah bengkak susu yang teruk. Proses ini perlu dilakukan secara berkala beberapa bulan sebelum ibu nak berhentikan proses penyusuan.
Jika sebelum ni ibu biasa memerah 30 minit satu sesi, boleh dikurangkan kepada 15 minit untuk setiap sesi.
Selepas itu, ibu boleh kurangkan sesi memerah pula. Jika sebelum ini 5 kali sehari, boleh dikurangkan kepada 4 kali seterusnya 3 kali sehinggalah ibu yakin penghasilan susu sudah berkurang dan ibu tidak perlu memerah.
Tapi, perlu periksa selalu payudara sekiranya ada ketulan susu yang tidak disedari. Jika ada boleh buat hot compression dan urutan untuk mengatasi saluran susu tersumbat sebelum melarat.
Ibu-ibu yang ada tips putus susu, jom kongsikan di komen. Moga menjadi manfaat untuk ibu-ibu yang lain.