TEMPOH HAYAT SUSU PERAHAN

PANDUAN PENTING UNTUK PENYIMPANAN YANG SELAMAT DAN BERKESAN

Bagi ibu-ibu yang sedang menyusukan bayi dan bergantung kepada kaedah penyimpanan susu perahan, pengetahuan tentang tempoh hayat setiap jenis susu perahan (EBM – Expressed Breast Milk) adalah sangat penting. Ini bagi memastikan susu yang diberikan kepada bayi berada dalam keadaan selamat, berkhasiat dan bebas daripada risiko pencemaran.

Berikut merupakan panduan lengkap berkaitan tempoh penyimpanan susu ibu yang telah diperah mengikut jenis penyimpanan dan syarat penggunaannya:

1. FRESH EBM (Susu Perahan Segar – Belum Pernah Disejukkan atau Dibekukan)

Tahan sehingga 4 jam pada suhu bilik biasa, iaitu suhu sekitar 25°C hingga 27°C.
Tahan sehingga 8 jam jika berada di dalam bilik berhawa dingin, dengan syarat suhu persekitaran adalah konsisten dan stabil (sekitar 16°C hingga 19°C).
Selepas dipanaskan, susu perahan segar ini hanya boleh digunakan dalam tempoh 1 jam sahaja. Sekiranya tidak dihabiskan dalam tempoh tersebut, ia perlu dibuang bagi mengelakkan risiko pertumbuhan bakteria.

2. CHILLED EBM (Susu Perahan yang Disejukkan – Tidak Dibekukan)

✅ Boleh disimpan di dalam ruang sejuk (chiller) peti sejuk selama 3 hingga 5 hari. Namun, untuk memastikan keselamatan dan kualiti nutrisi susu, penggunaan dalam tempoh 3 hari adalah lebih digalakkan.
✅ Sekiranya susu tersebut tidak digunakan selepas 5 hari, ia masih boleh dibekukan untuk dijadikan stok frozen EBM – asalkan belum melebihi had masa penyimpanan dan belum dipanaskan.
✅ Seperti fresh EBM, chilled EBM juga hanya bertahan 1 jam sahaja selepas dipanaskan. Selepas tempoh tersebut, ia tidak lagi sesuai untuk diberikan kepada bayi.

3. FROZEN EBM (Susu Perahan yang Dibekukan)

Boleh disimpan sehingga 2 minggu dalam peti ais jenis satu pintu (di mana ruang sejuk beku berkongsi pintu dengan ruang sejuk biasa).
Bertahan sehingga 3 bulan jika disimpan dalam peti sejuk dua pintu, dengan ruang beku yang berasingan dan suhu beku kekal stabil.
Mampu bertahan sehingga 6 bulan jika disimpan dalam deep freezer (peti sejuk beku khas yang lebih stabil dari segi suhu rendah).
✅ Setelah dikeluarkan dari tempat beku dan dipanaskan, susu ini perlu dihabiskan dalam masa 1 jam sahaja. Sekiranya tidak digunakan dalam tempoh itu, susu perlu dibuang.

⚠️ PERHATIAN PENTING:

  • Apabila bayi telah mula minum susu dari botol, tidak kira jenis susu perahan (fresh, chilled atau frozen), susu tersebut perlu dihabiskan dalam masa 1 jam sahaja. Ini kerana air liur bayi yang telah bercampur dengan susu boleh menyebabkan pertumbuhan bakteria yang membahayakan.
  • Walaupun susu telah dipanaskan tetapi belum diminum, ia tetap perlu dibuang selepas 1 jam. Susu yang telah dipanaskan tidak boleh disimpan semula atau dipanaskan semula.

Bolehkan mencampurkan susu perahan dari sesi berbeza?

Ya, boleh dicampurkan, namun terdapat syarat penting yang perlu dipatuhi bagi memastikan kualiti dan keselamatan susu kekal terjamin:

  • Susu perahan dari sesi berlainan hanya boleh dicampurkan jika kedua-duanya berada pada suhu yang sama.
  • Sebagai contoh:
    • Susu perahan sesi 1 pada jam 8.00 pagi yang disimpan terus dalam chiller atau cooler bag.
    • Susu perahan sesi 2 pada jam 12.00 tengah hari juga disimpan dengan cara yang sama (tidak dibekukan).
    • Kedua-dua susu ini boleh dicampurkan selepas kedua-duanya disejukkan terlebih dahulu sehingga mencapai suhu yang sama.

Kelebihan mencampurkan susu berlainan sesi ialah dapat menjimatkan penggunaan bekas penyimpanan susu, terutamanya bagi ibu yang mengepam dalam kuantiti kecil setiap sesi.

Maklumat penting yang perlu diambil kira:
Apabila mencampurkan susu daripada dua atau lebih sesi, tarikh dan masa yang perlu dicatat pada bekas penyimpanan adalah mengikut waktu sesi pertama (sesi paling awal). Ini bertujuan memastikan susu digunakan dalam tempoh selamat berdasarkan tempoh hayat yang tepat.