JADUAL PAM SUSU

Ramai ibu yang menghubungi saya dan bertanyakan tentang cadangan atau saranan jadual memerah (pam) susu, sama ada ketika mereka sedang bercuti bersalin ataupun semasa sudah kembali bekerja. Ramai yang ingin tahu bila masa yang sesuai untuk mula memerah susu bagi tujuan membuat simpanan stok susu ibu.

➡️ Saya ingin kongsikan terlebih dahulu panduan untuk para ibu yang sedang dalam tempoh cuti bersalin dan ingin mula memerah susu dengan tujuan untuk menyimpan stok.

✅ Dalam tempoh sebulan pertama selepas melahirkan anak, sebaik-baiknya ibu fokus sepenuhnya kepada penyusuan secara langsung dengan bayi, terutamanya jika bayi berada bersama ibu sepanjang masa. Pada waktu ini, ibu berpeluang untuk memahami ragam bayi dengan lebih baik – contohnya, memahami sebab-sebab bayi menangis, yang bukan semata-mata disebabkan oleh rasa lapar atau kekurangan susu sahaja.

✅ Dalam bulan pertama ini juga, hormon penyusuan ibu berada pada tahap yang sangat tinggi – boleh dikatakan sedang ‘menggila’. Ini adalah tempoh di mana tubuh ibu sedang menghasilkan susu dengan banyak, dan dalam kuantiti yang kelihatan sangat memberangsangkan. Ramai ibu mengalami keadaan di mana susu seolah-olah mencurah-curah keluar, sehinggakan ada yang berasa tidak selesa kerana payudara terasa penuh dengan kerap. Ini berlaku kerana payudara ibu sedang menyesuaikan diri atau ‘belajar’ memahami keperluan sebenar bayi – berapa banyak susu yang diperlukan oleh bayi setiap hari.

✅ Oleh sebab itu, kebanyakan pakar penyusuan tidak menggalakkan ibu untuk memerah susu terlalu awal dalam tempoh berpantang, terutamanya jika bayi bersama ibu. Ini kerana jika ibu kerap memerah dalam keadaan hormon masih tinggi, dikhuatiri badan akan terus merangsang penghasilan susu secara berlebihan. Akibatnya, ibu mungkin akan mengalami stres atau tekanan kerana kerap mengalami bengkak susu dan rasa tidak selesa yang boleh menjejaskan emosi dan fizikal.

✅ Namun, jika berlaku situasi di mana bayi tidak bersama ibu – contohnya bayi dimasukkan ke dalam wad NICU atau terpaksa tinggal di hospital, maka ibu digalakkan untuk memerah susu mengikut kekerapan tertentu untuk menghantar susu perahan kepada bayi.

✅ Selepas tempoh sebulan pertama, barulah ibu boleh mula memerah susu bagi tujuan menyimpan stok. Pun begitu, tidak perlu terus menetapkan jadual yang terlalu ketat atau terikat. Mulakan secara santai sahaja, contohnya dengan hanya 1 hingga 2 sesi perahan setiap hari. Jika hasil perahan hanya sekitar 1 hingga 2 oz setiap sesi, itu adalah perkara biasa dan sangat normal bagi permulaan.

Sebagai contoh pengiraan, jika ibu memerah 2 sesi sehari dan setiap sesi mendapat 2 oz, dalam masa 30 hari ibu sudah berjaya mengumpulkan 120 oz. Jumlah ini sebenarnya sudah sangat banyak, malah mungkin tidak muat untuk disimpan dalam peti ais dua pintu biasa!

➡️ Bagi ibu yang telah kembali bekerja, adalah penting untuk mula membiasakan diri dengan rutin memerah susu secara konsisten.

✅ Sediakan satu jadual pam susu yang sesuai dengan waktu bekerja, dengan jarak masa antara sesi yang lebih kurang setiap 3 hingga 4 jam, bergantung kepada kesesuaian tugasan kerja harian ibu.

✅ Contohnya, jika ibu memilih untuk memerah susu setiap 3 jam sekali, maka cadangan jadual sesi perahan boleh kelihatan seperti berikut:

  • Sesi 1: 8 pagi
  • Sesi 2: 11 pagi
  • Sesi 3: 2 petang
  • Sesi 4: 5 petang

Ini hanyalah contoh jadual yang boleh dijadikan rujukan. Ibu bebas untuk menyesuaikan waktu sesi pam mengikut keperluan dan kesesuaian kerja masing-masing. Jika ibu terpaksa memandu ke tempat kerja dan jarak perjalanan agak jauh, ibu juga boleh memilih untuk memerah susu sewaktu memandu – dengan syarat mematuhi aspek keselamatan.

Apa pun, satu BONUS besar jika ibu memakai pakaian menyusu yang mesra pam. Ini kerana pakaian jenis ini sangat membantu memudahkan proses memerah susu. Ibu tidak perlu menyelak baju sepenuhnya sehingga menampakkan bahagian badan – cukup hanya selit dari atas sahaja dan proses mengepam menjadi lebih mudah dan selesa, terutamanya jika di tempat kerja.