
Setuju tak dengan ayat ni? Jawapannya bergantung kepada perspektif masing-masing dan faktor persekitaran.
Saya pernah lakukan tinjauan ringkas berkaitan budaya penyusuan di Malaysia. Ada yang setuju ia belum menjadi budaya apabila pusat kesihatan kerajaan sendiri tidak menyokong staf mereka untuk pam susu sewaktu merawat pesakit.
Ada juga yang setuju ia bukan budaya di Malaysia apabila topik penyusuan masih lagi dianggap taboo dan dijadikan lawak soft p*rn oleh sesetengah pihak.
Ada juga yang setuju kerana kurangnya pendedahan tentang penyusuan susu ibu di Malaysia menjadikan ramai orang tidak cakna tentang penyusuan dan menjadikan ia agak janggal untuk dipraktiskan sama ada di tempat kerja atau dalam sesebuah komuniti.
Minggu lepas saya ada menulis tentang soalan kontroversi yang saya terima dari orang Jepun sewaktu bentangkan kertas kajian berkaitan penyusuan di sana.
Antaranya, mereka sedikit hairan mengapa begitu mudah ibu menyusu di Malaysia membeli susu formula.
Ini adalah kerana budaya yang telah mereka (rakyat Jepun) praktiskan setiap lama berkaitan penyusuan menjadikan ia sesuatu yang janggal untuk tidak menyusukan bayi tanpa sebab.
Mereka akan mencari satu sebab yang kuat untuk beralih kepada susu formula seperti merujuk kepada pakar seperti doktor, kaunselor penyusuan atau individu yang berpengalaman.
Cuti bersalin mereka lebih kurang sama dengan cuti bersalin di Malaysia. Namun mereka masih mengekalkan usaha untuk bekalkan susu ibu kepada bayi mereka sehingga 2 tahun malah ada yang lebih lama dari itu.
Jika tak faham logiknya praktis budaya masyarakat Jepun tentang penyusuan, kita lihat budaya masyarakat Jepun yang lain seperti kebersihan.
Siapa dah pergi Jepun tahu betapa bersihnya Jepun sehingga susah nak jumpa tong sampah di kiri kanan jalan kecuali tempat tertentu yang dikhaskan. Bila tiada tong sampah, tiada juga kelihatan satu sampah pun ada di tepi jalan.
Kalau ke kawasan luar bandar, di mana jalan raya yang tidak sibuk dan kurang kereta, baik pejalan kaki atau pemandu kereta, tidak akan melanggar lampu isyarat walau lama mana pun mereka perlu menunggu.
Kalau di bandar seperti Tokyo memang jelas kita nampak mereka patuh dengan lampu isyarat dek kesibukan jalan raya. Inilah budaya mereka; patuh dengan peraturan, menepati masa, menjaga kebersihan, sopan santun dan lain-lain.
Tentang peratusan mereka b*nuh diri itu ada kaitan dengan kepercayaan agama yang bukan pegangan utama mereka. Sebab itu dakwah Islam juga semakin meluas di Jepun.
Kembali kepada topik utama kita dan soalan kontroversi yang saya terima, sokongan penyusuan di Jepun dari awal lebih menyeluruh sehingga menyebabkan mereka tiada sebab untuk tidak menyusukan bayi.
Jika ada keperluan menghentikan penyusuan, mereka akan dapatkan nasihat pakar dulu, bukan terus beli tanpa alasan yang kukuh.
Jadi itu perbezaan budaya penyusuan di Malaysia dan Jepun dari segi praktis dalam kalangan ibu dan penerimaan masyarakat secara keseluruhannya.
Kalau di Malaysia, baru nak menasihatkan tentang ilmu penyusuan, terus dianggap kita yang menasihati ni tak memahami, nak cipta perbandingan dan tidak memahami situasi orang lain.
Lagi pula bahasa yang digunakan untuk menasihati itu kadang-kala tiada empati. Lagilah sentap ibu-ibu yang tidak menyusu.
So lebih banyak budaya bergaduh tentang:
Susu ibu vs Susu Formula
Ibu bekerja vs Tidak Bekerja
Jaga anak sendiri vs Hantar Pengasuh
Dan lain-lain.
Budaya kecam mengecam lebih dekat agaknya di negara kita? Setuju atau tidak?
Penulisan saya ini agak subjektif. Maklumat tentang penyusuan di Jepun saya dapat dari hasil temu buat dengan masyarakat di sana dan dari sedikit rujukan. Jika ada kesilapan info, boleh betulkan apa yang saya tulis ini.
Apa pun, menjayakan penyusuan di Malaysia bukan melibatkan ibu sahaja tapi melibatkan satu kampung dan SATU NEGARA.
Tidaklah mudah nak meningkatkan peratusan kejayaan penyusuan ibu-ibu di negara kita jika semua pihak tidak menggembleng tenaga untuk menjayakannya.