Salah satu kerisauan ibu-ibu ialah apabila bayi tidak mahu botol susu langsung manakala ibu pula akan kembali bekerja tidak lama lagi. Walaupun kebanyakan syarikat telah mula memberi pilihan pada pekerja untuk bekerja dari rumah, namun komitmen bekerja ibu yang tidak boleh dielak seperti mesyuarat, menyiapkan tugasan-tugasan memerlukan ibu untuk melatih bayi minum melalui botol juga.
“Salah saya ke tak ajar bayi botol sejak lahir?”
BUKAN SALAH IBU. Tindakan ibu BETUL supaya dapat mengelakkan risiko yang lebih besar seperti KELIRU PUTING apabila bayi diperkenalkan botol di bawah usia 30 hari.
Ada beberapa faktor yang akan menyebabkan kesukaran bayi untuk terima botol:
- Melatih botol dilakukan oleh ibu sendiri.
- Jenis susu perahan (bayi diberikan susu beku untuk kali pertama, rasa susu beku sedikit lain berbanding susu baru diperah)
- Puting yang kurang sesuai (terlalu besar, keras atau tidak peristaltik)
- Bayi dipaksa untuk menerima botol.
- Kelewatan melatih bayi botol.
Salah satu dari faktor di atas boleh menyebabkan bayi menolak pemberian botol.
Ibu perlu memberi masa sedikit buat bayi serta bersabar dalam tempoh melatih bayi minum melalui botol. Selepas bayi berusia 30 hari, latih penggunaan botol 1-2 kali dalam sehari-elakkan pemberian botol seharian bagi mengelakkan bayi menolak payudara.
Latihan pemberian boleh dilakukan selewatnya 2 minggu sebelum ibu kembali bekerja. Untuk lebih berkesan, lakukan latihan pemberian botol secara berkala. Dicadangkan,
1 kali pemberian botol pada hari 1-3
2 kali pemberian botol pada hari 4-6
3 kali pemberian botol pada hari 7-9
4 kali pemberian botol pada hari 10-13
Pemberian secara berkala ini dapat memastikan bayi tidak terkejut pada peringkat awal latihan botol dan semakin mahir dengan latihan yang konsisten.
Pemberian botol juga boleh dilakukan mengikut seperti jadual ibu bekerja. Sebagai contoh bagi ibu yang bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang, lakukan latihan pemberian botol dari pukul 8 pagi hingga 5 petang manakala waktu yang lain adalah penyusuan secara terus pada payudara. Kelebihan kaedah ini juga memastikan bayi bersedia untuk ‘berpisah’ sementara dari proses penyusuan secara terus tetapi masih lagi boleh menyusu terus di payudara pada waktu yang lain.
Nad Masrom,
Kaunselor Laktasi.