TEMPOH HAYAT PLASTIK

TEMPOH HAYAT PLASTIK: KESELAMATAN BOTOL SUSU DAN KOMPONEN PAM PERLU DIUTAMAKAN

Tahukah para ibu bahawa setiap botol susu dan corong pam yang digunakan dalam penyusuan mempunyai tempoh hayat tertentu yang perlu dipatuhi? Walaupun secara fizikal kelihatan masih dalam keadaan baik, penggunaan yang berterusan dalam jangka masa yang terlalu lama sebenarnya tidak digalakkan, kerana ia boleh menjejaskan keselamatan bayi secara tidak langsung.

Sebahagian besar corong pam diperbuat daripada bahan plastik jenis polimer polypropylene (PP). Walaupun bahan ini tahan lasak dan biasa digunakan dalam produk berkaitan penyusuan, penggunaan yang melebihi tempoh hayat yang disarankan boleh menyebabkan degradasi bahan. Ini bermaksud, dengan kerap terdedah kepada haba, tekanan dan penggunaan berulang, plastik boleh mula mengurai dan melepaskan bahan kimia berbahaya ke dalam susu ibu. Oleh itu, adalah amat penting untuk mematuhi garis panduan penggantian yang ditetapkan oleh pengeluar, demi memastikan tahap keselamatan makanan bayi berada pada tahap optimum.

Perkara yang sama juga perlu diberi perhatian terhadap botol susu bayi yang diperbuat daripada plastik PP. Walaupun kelihatan kukuh, bahan ini tidak direka untuk tahan dalam jangka masa yang terlalu panjang, terutama apabila sering terdedah kepada suhu tinggi seperti dalam proses pensterilan menggunakan stim atau air mendidih.

Namun, terdapat juga jenis plastik termosplastik yang lebih tahan lama dan berkualiti tinggi, contohnya seperti Tritan, PPSU (Polyphenylsulfone) dan PES (Polyethersulfone). Jenis-jenis plastik ini terkenal dengan ketahanan terhadap suhu tinggi, sinaran UV, dan rintangan kimia yang lebih baik, menjadikannya pilihan yang lebih selamat dan tahan lama untuk penyimpanan susu ibu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, jika ibu mendapati bahawa botol susu atau corong pam yang digunakan mula menunjukkan tanda-tanda kecacatan seperti melebur, berubah bentuk atau rosak selepas proses pensterilan, ini mungkin petanda bahawa bahan plastik tersebut tidak sesuai untuk pendedahan kepada suhu tinggi. Situasi ini memberi amaran bahawa plastik yang digunakan tidak stabil dan mungkin tidak selamat untuk kegunaan bayi.

Kesimpulannya, memastikan botol susu dan komponen pam berada dalam keadaan baik dan diganti mengikut tempoh yang disarankan adalah sangat penting dalam menjaga kesihatan bayi. Jangan hanya bergantung kepada keadaan fizikal yang nampak baik – sebaliknya, ambil langkah proaktif dengan mengenal pasti jenis bahan plastik yang digunakan dan sentiasa merujuk kepada manual atau panduan pengeluar untuk penukaran secara berkala.