APA ITU BREAST ACCESSORIES?

“Breast accessories” atau payudara tambahan merujuk kepada tisu payudara yang terbentuk selain daripada payudara utama. Ia merupakan seolah-olah payudara ‘tambahan’ yang turut mengandungi tisu glandular (kelenjar susu), saluran susu dan kadang-kadang turut mempunyai struktur seperti puting, walaupun selalunya puting tersebut tidak terbentuk secara sempurna atau lengkap seperti payudara asal.

Walaupun tidak berada di lokasi biasa, payudara tambahan ini juga berfungsi hampir seperti payudara utama, kerana ia mampu menghasilkan susu ibu, terutama sekali ketika tubuh ibu sedang dalam fasa penyusuan. Ini bermakna, kawasan tersebut boleh mengalami pembengkakan dan penghasilan susu, sama seperti payudara utama.

Payudara tambahan ini kebiasaannya muncul di sepanjang garis susu atau milk line, iaitu laluan perkembangan payudara yang bermula dari ketiak, merentasi dada, dan berakhir di bahagian atas pusat. Oleh itu, ia boleh muncul di beberapa lokasi seperti di bawah ketiak, atas dada, atau bahagian perut atas — mana-mana yang terletak di sepanjang garisan tersebut (rujuk gambar untuk rujukan visual).

Disebabkan fungsinya yang sama seperti payudara asal, sesetengah ibu boleh mengalami masalah mastitis (radang payudara) pada kawasan payudara tambahan ini, terutamanya jika saluran susu di kawasan tersebut tersumbat atau tidak dikeluarkan dengan lancar.

Sekiranya ibu merasa ketidakselesaan atau rasa terganggu apabila kawasan tersebut turut mengeluarkan susu, terutamanya semasa tempoh menyusukan anak, ibu boleh mendapatkan rawatan lanjut. Dalam kes tertentu, ibu boleh memilih untuk menjalani pembedahan bagi membuang tisu payudara tambahan tersebut, terutamanya jika ia menjejaskan kualiti hidup atau keselesaan harian.