Semua ibu dan ayah pastinya menyedari yang setiap saat bersama bayi adalah proses mengenali bayi anda. Apabila bayi meragam, ibu dan ayah juga akan cepat-cepat mencari apa puncanya bayi berkelakuan begitu, supaya penyelesaian dapat diberikan segera untuk bayi kekal selesa. Namun adakalanya proses mengenal pasti punca bayi meragam ini menemui jalan buntu.
Pernah tak anda dengar mengenai MENTAL LEAP?
Setiap bayi akan melalui fasa Mental Leap sebanyak 10 kali sepanjang 20 bulan pertama kehidupan pertama bayi.
Apa itu Mental Leap?
Mental Leap atau Fasa Perkembangan Mental Bayi ialah perubahan yang berlaku dalam otak bayi, atau dalam masyarakat kita lebih dikenali dengan ‘berubah bulan’.
Apa yang berlaku sewaktu Mental Leap, secara ringkasnya seolah-olah software dalam otak bayi sedang upgrade kemampuannya dari semasa ke semasa.
Kalau bayi boleh bercakap, sudah pasti ini antara ayat yang diperkatakan “Eh kat mana aku ni? Tolong.. tolong! Aku tak tahu aku kat mana ni? Semalam kat tempat lain, hari ni tempat lain. Mana ibu? Mana ayah?”
Bayangkan bayi kita sedang berada dalam situasi di atas, kesian tak dengan bayi kita? Itulah analoginya yang berlaku kepada otak bayi kita pada fasa Mental Leap ini. Umpama otak bayi sedang diformat 10 kali sepanjang tempoh 20 bulan !
Pada fasa ini, bayi akan alami 3C, iaitu :
1. CRYING (menangis)
2. CRANKY (merengek)
3. CLINGY (nak berdukung atau dipegang)
Setiap kali Mental Leap berlaku, bayi seolah-olah berada dalam dunia baru yang asing. Otak bayi mula memahami dunia ini dari perspektif yang baru. Bayi mula teruja bila sedar dia telah memiliki kemahiran dan pandangan baru.
Jadi apa yang ibu ayah perlu lakukan?
1. Ambil tahu bila fasa Mental Leap akan berlaku dan bersedia secara mental dan fizikal untuk hadapi fasa 3C nanti.
Tips: Sebagai panduan, anda juga boleh gunakan aplikasi Wonder Weeks untuk mengetahui bilakah bayi anda akan menghadapi fasa Mental Leap. Aplikasi ini boleh didapati di Play Store atau Apple Store.
2. Tidak perlu ubah cara bayi secara drastik. Contoh: bayi minum secara terus di payudara, tiba-tiba bayi menolak dan ibu terus beri botol tanpa fahami apa yang berlaku. Ada potensi dalam fasa Mental Leap, bayi seolah alami Nursing Strike. Jadi ibu perlu kendalikan dengan cara yang betul.
3. Bersabar dan bertenang lah, semua ini bersifat sementara sahaja. Usahlah kita mahu bayi lekas-lekas cepat diam kerana bayi sendiri sedang lalui fasa mencabar ini.
Tips: Membantu bayi melalui fasa Mental Leap dengan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dapat mengurangkan tekanan yang bayi alami. Pelbagaikan aktiviti yang boleh dilakukan semasa fasa Mental Leap.
Dengan mengambil tahu mengenai Mental Leap, ibu dan ayah akan lebih cakna untuk mempelajari tentang fasa perkembangan mental atau Mental Leap ini serta bagaimana fasa ini dapat dilalui dengan lebih baik.
Nad Masrom
Kaunselor Laktasi, Tangisan dan Tidur Bayi