Ini persoalan yang kerap bermain di minda ibu-ibu bekerja, ‘Jika ibu cuti bekerja, memerah susu pun kena cuti ke?’
Rutin memerah susu untuk ibu bekerja sebenarnya adalah untuk memastikan permintaan (demand) kepada penghasilan susu (supply) sentiasa ada. Kebiasaannya ibu bekerja akan ada jadual pam tersendiri untuk memastikan susu dikeluarkan mengikut waktu semasa di tempat kerja.
Apabila permintaan (demand) sentiasa ada, penghasilan dan pengeluaran susu (supply) juga sentiasa mencukupi.
Apabila ibu bersama bayi, ibu boleh menyusukan bayi secara terus pada payudara (direct feeding), sama ada selepas pulang dari tempat kerja atau pada waktu hujung minggu.
Jadi masih perlu ke perah susu pada hujung minggu?
Jawapannya, bergantung kepada keperluan ibu.
Ada ibu yang perlu pam susu waktu hujung minggu bagi memastikan bekalan stok susu perahan untuk bayi mencukupi.
Manakala ada ibu pula yang perlu memerah susu pada waktu hujung minggu bagi memastikan momentum hasil perahan kekal seperti hari bekerja supaya ibu tidak panik apabila mendapat susu kurang dari minggu sebelumnya.
Adakah susu akan merudum jika tidak memerah pada waktu hujung minggu?
Mungkin ada sedikit perbezaan tapi tidaklah sehingga hasil perahan ibu tidak mencukupi untuk keperluan bayi, jadi apa-apa pun ia bergantung pada keperluan ibu yang bekerja.
Harap perkongsian ini merungkai persoalan yang bermain di minda ibu.
Nad Masrom
Kaunselor Laktasi