You are currently viewing SABAR SEORANG IBU

SABAR SEORANG IBU

Mungkin ada masa sabarnya menghilang. Marahnya tersasar. Fikirannya tak keruan. Akalnya kurang waras.

Namun masih ramai ibu yang berjuang menahan amarah walau sabarnya senipis bawang.

Masih ramai ibu yang rasa bersalah setiap kali tercalarkan emosi anak. Namun masih lagi rasa tak tergamak untuk melukakan fizikal anak.

Hakikatnya tak dapat dinafikan, memang ada ibu yang sudah sampai hilang kewarasan. Atas faktor apa yang hanya dia dan Allah sahaja yang tahu.

Mungkin ada yang rasa ‘berdendam’ dengan anak sendiri atas masa mudanya yang hilang.
Apatah lagi bila anak itu menuntut tumpuan dan kesabaran yang tinggi untuk menjaga mereka.

Benar ramai yang akan kata, “tak mungkin ibu ayahnya tergamak lakukan begini” bila membaca kisah B1 dan B2 yang sudah tular. Kita sudah ketahui naratif kes. Dan biarlah pihak berkuasa yang ambil tindakan sewajarnya.

Sesungguhnya dari kisah itu, ramai ibu yang mula merenung diri dengan masa silam sendiri. Dan ramai yang mengucapkan syukur kerana Allah masih menyelamatkan kita dari rasa ‘gila’ itu.

Walaupun mungkin dalam hati dan fikiran tah berapa ribu kali kita mahu melepaskan amarah melampau kepada anak-anak, tapi Allah masih tahan.

Dia masih jaga kewarasan kita.
Dan Dia masih titipkan rasa sabar dalam diri kita.

Status ibu itu memang bukan untuk semua.
Ada yang sudah menanti gelaran ibu sekian lama.
Ada yang bergelar ibu dengan dikurniakan anak-anak syurga.

Namun, ramai yang sudah mendapat gelaran itu tidak menghargainya.
Malah ada yang kerap merungut seolah mereka (anak-anak) akan buat perangai selamanya.

Nasihat ini untuk saya juga.
Seorang ibu biasa yang turut merasa lelah.

Cuma syukur Allah masih jaga kita.
Dia tak biarkan kita hanyut dengan amarah tak tentu hala.

Ya Allah, lindungilah anak-anak kami semua.
Dan jagalah hati dan kewarasan kami yang juga ibu mereka.
Agar kami tidak sekali-kali mendera hati dan fizikal mereka.
Kerana anak-anak ini lahirnya ke dunia tidak diminta.