Pada 5 Julai 2025 telah berlangsung Seminar Eklusif The Art of Breastfeeding di Medina Hall, Seksyen 13, Shah Alam Selangor. Seminar ini berjaya menghimpunkan 16 pasangan yang sedang hamil bagi menyertai seminar eklusif ini.

Istimewanya seminar ini berbanding seminar-seminar lain yang seumpamanya ialah sasaran penyertaan yang kecil ini membantu speaker untuk lebih fokus dan lebih banyak interaksi antara speaker dengan peserta-peserta yang menyertai. Ini membolehkan setiap persoalan dari peserta dapat dijawab dengan teliti serta sesi demo yang dijalankan dapat dipantau dengan lebih rapat oleh para speaker.
Seminar kali ini dimulakan dengan topik Seni Penyusuan Susu Ibu yang disampaikan oleh Kaunselor Laktasi, Puan Nad Masrom. Perkongsian dimulakan dengan pengenalan pada anatomi payudara supaya peserta memahami disebalik kejadian payudara seorang wanita dan fungsinya bagi penyusuan ibu.

Suasana seminar dimeriahkan lagi dengan demo menyusui bayi oleh para bapa, dimana bakal-bakal bapa ini diuji imaginasi mereka bagaimana untuk menyusui bayi dengan posisi yang diketengahkan oleh speaker. Ini amat penting sebenarnya supaya para bapa ini dapat mempelajari secara terus teknik penyusuan yang tepat kerana mereka ialah insan yang paling rapat dengan para ibu yang baru melahirkan nanti. Bukan itu sahaja, setiap peserta juga diberikan sebiji belon yang perlu ditiup, kemudian perlu melakukan seni perahan menggunakan tangan pada belon tersebut. Ini amat penting untuk membantu ibu-ibu yang mungkin akan mengalami bengkak susu di awal kelahiran.
Tidak ketinggalan, Puan Nad Masrom juga berkongsi mengenai topik Pengurusan Susu Perahan pada para peserta yang hadir supaya apabila mereka perlu mengendalikan susu perahan selepas melahirkan, ia akan dilakukan dengan tepat bagi menjaga titisan penuh berharga ini. Seminar diteruskan lagi dengan topik Pengurusan Bayi Baru Lahir oleh Puan Nad Masrom.
Selepas rehat dan menjamu selera makanan yang dibekalkan oleh pihak penganjur, Seminar diteruskan lagi dengan Sesi Praktikal Pengurusan Uri oleh Encik Yusof mewakili pihak penaja Tungbayee. Keterujaan terserlah di wajah para bapa ini apabila masing-masing diberikan sepotong ‘uri’ berupa paru lembu serta peralatan mencuci dan menguruskan sebagaimana mereka perlu menguruskan uri selepas isteri melahirkan nanti.

Puan Zamzana seorang Juruterapi Berpantang yang berpengalaman dari Pantang Plus pula menyambung seminar dengan Slot Pengurusan Bayi dan Pantang. Nampak biasa-biasa, namun topik ini amat penting diketengahkan supaya para ibu bapa baru dapat mempelajari bagaimana untuk menguruskan bayi yang baru lahir serta bagaimana para suami mithali ini dapat membantu isteri berpantang dengan selesa dan sihat. Pengalaman yang ada membolehkan Puan Zamzana menyampaikan topik ini dengan penuh cermat dan teliti, pelbagai tips dikongsikan buat para ibu bapa baru ini.

Tidak lengkap rasanya jika seminar penyusuan tidak digandingkan dengan ilmu tenang dan tangisan bayi, seminar diteruskan dengan topik Tangisan Bayi dan Tips Tenangkan Bayi Tanpa Beri Susu Ibu oleh Puan Nad Masrom yang juga Penasihat Tangisan dan Tidur Bayi 0-3 bulan. Tangisan bayi seringkali disalah tanggap sebagai tanda bayi tidak cukup susu ibu membuatkan topik ini amat penting diketengahkan, bukan saja ibu bapa baru dapat menenangkan bayi dengan lebih tangkas, malahan ia juga membantu ibu bapa membezakan isu tidur dan isu penyusuan adalah dua perkara yang berbeza dan bagaimana menyelesaikannya kelak.
Seminar menampilkan speaker terakhir iaitu Puan Naimah Yasir dari Mengusik Spa bagi topik Urutan Meriahkan Susu, lebih menarik demo terus dilakukan pada Puan Nad Masrom. Puan Naimah Yasir bukanlah nama asing dalam dunia urutan, beliau antara individu yang tersenarai sebagai 25 peserta terbaik dalam urutan minyak semasa Kejohanan Urutan Jelajah Dunia 2025 (MCWT 25) di Jepun. Sudah tentu perkongsian dari Puan Naimah ini dapat membantu para bapa mempraktiskan urutan yang dipelajari pada para isteri nanti apabila diperlukan.

Seminar disudahi dengan Sesi Soal Jawab Bersama para Speaker serta sesi bergambar sebagai kenang-kenangan di masa akan datang bersama para peserta dan speaker yang hadir.
Seminar ini bukan sekadar menyampaikan ilmu malahan ia menghubungkan serta memberi gambaran sebenar akan cabaran dunia keibubapaan yang bakal dilalui oleh para ibu bapa baru ini dalam menyambut si kecil yang dinanti-nantikan dalam hidup mereka.
Dengan pendekatan seminar yang lebih mesra dan padat dengan praktikal, Seminar Eklusif The Art of Breastfeeding ini telah membuka mata banyak pasangan tentang peranan besar serta sumbangan mereka dalam dunia penyusuan serta tumbesaran bayi.
Semoga ilmu yang diperolehi oleh para peserta ini menjadi bekal berguna buat mereka dalam perjalanan sebenar mereka untuk menempuhi alam penyusuan dan membesarkan bayi nanti.