You are currently viewing 9 TIPS BERPUASA UNTUK IBU MENYUSU.

9 TIPS BERPUASA UNTUK IBU MENYUSU.

Tak lama saja lagi umat Islam di Malaysia akan berpuasa. Buat ibu-ibu menyusu, ‘cuba untuk berpuasa’ tu bukan sekadar cuba tahan lapar dan dahaga sahaja. Ibu-ibu juga patut ‘cuba buat persiapan’.

Ramai ibu-ibu menyusu yang tidak berpuasa kerana mengambil rukhsah. Ya memang benar rukhsah itu dibenarkan jika ibu bimbang kesihatan dirinya atau bayi yang disusukan.

Tapi, bagaimana dengan persediaan ibu untuk berpuasa? Adakah ibu memang betul-betul bersedia?

Saya kongsikan semula 9 tips berpuasa untuk ibu-ibu menyusu.

1. Minda yang positif.
Kita sebenarnya berperang dengan diri sendiri dalam menghadapi cabaran berpuasa ini. Bila kita fikir kita tak mampu, kita memang jadi tak mampu. Jadi, cuba ubah fikiran kepada sebaliknya.

2. Lewatkan sahur dan ambil karbohidrat kompleks.
Ibu menyusu kena bersahur. Lewatkan sahur dan ambillah sumber karbohidrat kompleks seperti oat. Oat membantu ibu-ibu menyusu rasa kenyang lebih lama.

3. Makan kurma.
Kurma mengandungi gula ringkas yang dapat membekalkan tenaga lebih lama kepada ibu menyusu.

4. Minum air secukupnya.
Dari selepas berbuka hingga sahur, minumlah air sikit-sikit tapi kerap. Sediakan botol air berhampiran. Bila dahaga walaupun sedikit terus minum. Cuba minum 8-10 gelas air sepanjang malam.

5. Kurangkan kafein dan makanan berminyak.
Kafein bersifat diuretik. Bila diambil lebih secawan sehari, ibu-ibu akan kerap membuang air. Makanan berminyak akan menyebabkan ibu-ibu cepat dahaga. Jadi berpadalah dalam mengambil keduanya.

6. Ubah suai jadual memerah.
Sesi pertama memerah boleh dilakukan selepas bersahur. Kemudian ibu-ibu boleh memerah sekurangnya 2 kali di tempat kerja (pastikan jarak memerah tidak melebihi 3-4jam). Bila balik rumah nanti, boleh terus direct feed baby dan sekiranya perlu, memerahlah pada waktu malam selepas berbuka untuk bekalan stok hari berikutnya.

7. Minta bantuan orang lain untuk beri susu kepada bayi
Jika ibu-ibu keletihan kerana bayi kerap menyusu, boleh minta bantuan suami untuk beri bayi susu perahan menggunakan botol (untuk bayi berusia 30 hari ke atas). Tapi ibu janganlah biarkan payudara penuh pula ya, keluarkan susu melalui marmet / pam jika perlu.

8. Pemampatan payudara (Breast Compression)
Bila memerah rasa susu tu macam tak nak keluar je time puasa ni. Ibu-ibu boleh buat breast compression atau pemampatan payudara.

Sama juga ketika menyusu. Kalau nampak bayi meragam, ibu boleh buat breast compression juga untuk bantu susu keluar dengan lebih baik.

9. Berdoa
Usaha, doa dan tawakal. Biasa kita dengar tiga perkataan azimat ini. Maksudnya sebelum kita pasrah menyerah, kita perlu berusaha dulu.

Macam telah dikatakan tadi, usaha minum air yang cukup, sahur yang cukup, pilih makanan terbaik untuk sahur dan berusaha untuk persiapkan mindset kita terlebih dahulu.

Paling penting, bagaimana kita sebagai ibu menyusu nak yakinkan diri bahawa kita mampu menghasilkan susu yang mencukupi.

***

Ibu-ibu cubalah dulu buat persiapan dari segi pengambilan air dan makanan sahur yang terbaik dahulu.

In shaa Allah bila ibu bersedia dengan ‘alatan perang’, ibu boleh meneruskan berpuasa tanpa masalah.

Bila saya tanya ibu-ibu yang PM saya kerana susu drop, ramai yang menjelaskan mereka tidak bersahur dengan betul dan kurang pengambilan air ketika malam.

Berpuasa itu pada peringkat awalnya memang menyebabkan ibu letih. Bila letih, hormon oksitosin juga akan berkurangan dan menjejaskan penghasilan susu ibu.

Apatah lagi bila ibu kurang minum air sepanjang malam dan tidak mengambil makanan yang berat sewaktu bersahur, ibu akan mula menggigil kerana paras gula dalam darah menurun dan dehidrasi.

Bila ibu telah berusaha dengan bersungguh-sungguh, ibu-ibu berdoalah semoga Allah permudahkan segala urusan ibu dan bayi.

Dia Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Dia amat suka pada hamba-Nya yang meminta-minta. Pasti diperkenankan dengan segala kemudahan.

Nad Masrom
Kaunselor Laktasi Anda

Leave a Reply