You are currently viewing 5 SEBAB BAYI TIDAK MEMERLUKAN AIR MASAK

5 SEBAB BAYI TIDAK MEMERLUKAN AIR MASAK

“Bahaya beri air masak kepada bayi bawah 6 bulan”

Teringat saya betapa terpinga-pinga ibu ayah yang hadir dalam seminar penyusuan saya sebelum ini apabila mendengar saya mengucapkan kenyataan ini.

‘Bukan ke minum air kosong ni bagus?’, ada antara mereka mula mengutarakan pendapat.

“Bagus untuk kita sebagai orang dewasa tetapi bukan untuk bayi di bawah usia 6 bulan…”, jawab saya.

Rupanya ramai yang masih tak tahu, pemberian air masak untuk bayi di bawah usia 6 bulan sangat bahaya. Tiada istilah nak kena bilas mulut bayi lepas bayi menyusu dengan beri air masak.

Memberi air masak atau air kosong kepada bayi di bawah usia 6 bulan tidak digalakkan kerana:

1. Menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit-Air kosong boleh mengganggu keseimbangan elektrolit dalam tubuh bayi, yang masih kecil dan belum matang. Bayi boleh mengalami water intoxication atau keracunan air, yang boleh menyebabkan gejala seperti kejang atau penurunan suhu badan dan berisiko menyebabkan kematian.

2. Mengurangkan selera bayi untuk minum susu-Air kosong akan membuat bayi berasa kenyang sementara, yang boleh menyebabkan bayi minum kurang susu ibu. Ini menjejaskan pengambilan kalori dan nutrien penting yang diperlukan untuk tumbesaran.

3. Meningkatkan risiko jangkitan-Sistem imun bayi di bawah 6 bulan masih lemah, dan air kosong mungkin mengandungi bakteria atau kekotoran, yang boleh menyebabkan jangkitan pada bayi.

4. Mengurangkan penyerapan zat penting-Bayi memerlukan nutrien tertentu untuk perkembangan otak dan tubuh. Memberi air kosong boleh mengganggu penyerapan zat-zat seperti natrium dan boleh menyebabkan kekurangan zat makanan.

5. Susu ibu sudah mengandungi cukup air-Susu ibu mengandungi sekitar 80% air, yang mencukupi untuk memenuhi keperluan cecair bayi. Jadi, bayi yang disusui secara eksklusif tidak memerlukan tambahan air untuk kekal terhidrasi.

Maka, bayi di bawah 6 bulan hanya memerlukan susu sahaja untuk perkembangan dan tumbesaran yang optimum.

Nad Masrom
Kaunselor Laktasi

Leave a Reply