You are currently viewing KOPI DAN PENYUSUAN SUSU IBU.

KOPI DAN PENYUSUAN SUSU IBU.

Menjadi ibu satu pengalaman yang sangat mencabar. Bangun di awal hari, tidur pula tidak menentu pada waktu malam terutama di waktu awal selepas melahirkan bayi pastinya agak memenatkan. Hirupan dari secawan kopi di pagi hari pastinya terasa enak sekali untuk dinikmati. Tetapi apabila anda menyusukan bayi terlalu banyak pantang larang yang anda dengari, salah satunya wanita menyusu dikatakan tidak boleh mengambil kopi.

JADI BOLEHKAH WANITA MENYUSUI BAYI MINUM KOPI?

Jika anda seorang penggemar kopi, menyusukan bayi bukanlah penghalang buat anda untuk terus menikmatinya. Namun pengambilannya haruslah dalam keadaan bersederhana. CDC atau Center for Disease Control and Prevention menyarankan bagi ibu yang ingin menikmati minuman berkafein seperti kopi, boleh mengambilnya dalam jumlah yang sederhana iaitu 300 miligram atau kurang darinya (bersamaan 2 ke 3 cawan kopi) dalam masa sehari. Sebaliknya bagi ibu yang melahirkan bayi pramatang, mungkin anda boleh mendapatkan pandangan dari Doktor anda terlebih dahulu.

Tinjauan terhadap ibu yang mengambil kopi dalam jumlah yang sederhana, tiada kesan yang ketara ditunjukkan pada bayi. Namun beberapa aduan seperti bayi meragam, pola tidur yang terganggu serta gelisah dilaporkan oleh ibu yang menyusui bayi dan mengambil kafein dalam kuantiti yang agak banyak iaitu 10 cawan kopi atau lebih dalam sehari.

Jika anda ingin mencuba kopi semula selepas melahirkan, ini tips untuk anda.

  • Mula dengan kuantiti yang rendah terlebih dahulu.
  • Hadkan pengambilan kopi diantara 1 hingga 3 cawan sehari.
  • Ambil kopi selepas menyusukan bayi, jarak waktu antara tiap sesi memberi ruang untuk anda. Kajian menunjukkan tahap kafein tinggi selepas 1 atau 2 jam pengambilannya dan akan semakin menurun.
  • Anda mungkin perlu pertimbangkan untuk menghentikan pengambilan kopi jika bayi anda menunjukkan tanda tidak sesuai dan cuba semula apabila bayi semakin meningkat usia.

KOPI SALAH SATU PENYEBAB SUSU BERKURANG?

Tiada bukti yang menunjukkan minum kopi boleh mengurangkan penghasilan susu. Mitos ini disampaikan dan popular di kalangan pelbagai latar masyarakat masa kini. Malahan ramai wanita yang menyusukan bayi masih mengambil kopi dalam diet hariannya serta masih meneruskan penyusuan susu ibu.

BUKAN KOPI SAJA SUMBER KAFEIN.

Akibat mitos yang ibu menyusui bayi tidak boleh mengambil kopi kerana mengandungi kafein, ramai ibu memilih untuk mengambil minuman selain kopi. Namun tahukah anda bahawa bukan kopi saja sumber kafein? Kafein juga boleh dijumpai dalam,

  • Teh
  • Teh hijau
  • Minuman dari sumber koko
  • Coklat
  • Minuman ringan

Nikmatilah secawan kopi anda dengan lebih tenang setelah mengetahui info dari artikel ini.

Leave a Reply