Untuk ibu bekerja yang sudah biasa dengan rutin memerah ditempat kerja, kemudian mengambil cuti atau perlu cuti bekerja dalam tempoh agak lama seperti yang bekerja sebagai guru, adakalanya sedikit bingung bagaimana ingin mengekalkan ransangan supaya susu tidak merudum apabila kembali bekerja nanti. Berikut adalah beberapa tips untuk ibu yang melalui situasi ini,
1. Pam susu waktu bercuti.
Apabila musim cuti panjang, sebaiknya elak dari cuti memerah terus terutama untuk ibu-ibu yang stok susu cukup-cukup sahaja.
Apabila menyusu secara terus pada payudara tanpa memerah, badan ibu akan selarikan penghasilan susu mengikut keperluan bayi semasa menyusu di payudara sahaja. Kesannya apabila ibu kembali bekerja, hasil memerah mungkin akan lebih kurang berbanding sebelum ibu bercuti dan situasi ini adalah normal.
Bagi menghindar situasi ini, ibu disaran untuk terus memerah sekurangnya 1-2 kali sehari semasa bercuti.
2. Cooler bag/cooler box dengan pek ais mesti ada jika pulang ke kampung.
Jika ibu memerah semasa bercuti dikampung, susu perahan tersebut perlu dibawa pulang ke rumah. Susu beku mesti kekal beku bila sampai di rumah, manakala susu sejuk perlu sentiasa sejuk juga dalam perjalanan.
3. Bila bawa bayi berjalan-jalan, fokus menyusu di payudara.
Uniknya penyusuan susu ibu, badan ibu akan kenal pasti semua kuman baru yang ada di persekitaran luar dan akan hasilkan antibodi yang baru. Jadi bayi ibu akan lebih dilindungi berbanding minum susu perahan dari rumah.
Manfaatkan penyusuan terus di payudara semasa anda berada diluar atau bercuti.
4. Pakai baju menyusu di mana-mana.
Jangan lupa pakai baju menyusu sewaktu bercuti supaya senang untuk menyusui bayi di mana-mana. Baju menyusu selak lebih mudah dan cepat untuk anda menyusui bayi.
Semoga perkongsian ini membantu anda meneruskan penyusuan semasa bercuti