
- Ibu yang menyusui bayi sepenuhnya atau bayi boleh menyusu dipayudara.
Ibu yang boleh menyusui bayi terus di payudara disaran untuk meneruskan penyusuan. Penyusuan susu ibu adalah dari sumber yang bersih 100%.
Ibu teruskan makan seperti biasa dan minum mencukupi. Pelukan hangat semasa ibu menyusui bayi juga membantu menghangatkan tubuh bayi di waktu kesejukan ini.
Susukan bayi dengan kerap atau ikut permintaan bayi bagi mengelak ibu mengalami bengkak susu atau susu tersumbat.
- Ibu yang menyusu campur, namun bayinya masih menerima dan mahu minum susu ibu dari payudara.
Ibu disaran untuk menggalakkan atau mengerapkan pemberian susu ibu, kerana ia sumber yang bersih. Lebih kerap ibu menyusui bayi, lebih kerap susu akan terhasil dan susu ibu akan bertambah.
Membancuh susu rumusan di kala banjir biasanya berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan air bersih dan berisiko mendapat cirit-birit atau keracunan makanan.
- Ibu yang menyusui bayi dengan susu perahan.
Jika ibu masih boleh menyusukan bayi atau bayi masih dalam proses menerima payudara, lakukan skin to skin atau sentiasa peluk anak dan rapat dipayudara sambil ibu cuba memujuk bayi menyusu di payudara.
Namun jika bayi hanya minum susu perahan sepenuhnya dan tidak menyusu di payudara, cuci bersih peralatan pam dan alatan minum bayi.
Elakkan rutin tidak perlu seperti mengelap permukaan pam susu menggunakan kain pengelap atau menggunakan sanitizer, sebaiknya cuci bersih tangan menggunakan air dan sabun adalah pilihan lebih baik.
Jika sukar mendapatkan air bersih yang banyak dan sabun untuk mencuci, ibu disaran memilih untuk menggunakan teknik perahan tangan.
Pastikan susu sentiasa diletakkan dalam bag atau kotak penyejuk. Lapiskan susu bersama garam dan ais, terutamanya jika susu perahan beku yang sedang dipindahkan.
Ibu disaran memilih kawasan yang sesuai untuk memerah, pilih kawasan tersorok atau di sudut ruang bilik. Gunakan kain yang sesuai jika tiada nursing cover contohnya kain batik, tuala, atau kain tudung yang bersih bagi menutupi ibu yang sedang memerah, jika perlu
- Sukarelawan banjir.
Utamakan pemberian air bersih pada ibu yang menyusui bayi dengan susu ibu berbanding menggalakkan pemberian susu rumusan dan air masak pada ibu yang boleh menyusui bayinya.
Kerana membancuh susu rumusan semasa bencana banjir memerlukan air yang bersih bagi mengelak bayi mendapat risiko keracunan makanan dari air yang tidak bersih, tidak dididihkan atau peralatan botol yang tidak dicuci bersih
Berikan ibu-ibu menyusui bayi ruang yang sesuai untuk menyusui bayi atau sekurangnya kain pelitup yang kering untuk menutup ibu yang sedang menyusui bayi.
Sukarelawan yang mahir dalam teknik menyusui bayi digalakkan untuk membantu ibu-ibu yang boleh menyusui bayi mereka mendapat teknik dan cara menyusukan bayi dengan betul.
Galakkan ibu bapa dan bayi sentiasa bersama supaya tubuh badan bayi dapat dihangatkan dengan tubuh ibu atau bapa.
Diharap perkongsian ini dapat disebar luas pada ibu ayah diluar sana. Sama-sama kita panjatkan doa semoga mangsa bencana banjir dimudahkan urusan mereka, diberi kekuatan dan dielakkan dari bah kesihatan yang lain.