You are currently viewing TIPS WEAN OFF-PUTUS SUSU

TIPS WEAN OFF-PUTUS SUSU

Pasti ramai yang tercari-cari tips untuk berhenti menyusui anak ini kan?

Pengalaman putus susu dengan 2 anak sebelum ini membuatkan saya ingin berkongsi bagaimana pengalaman dan apa yang saya lakukan untuk putus susu dengan anak. Saya mengambil pendekatan untuk lakukan proses ini secara perlahan-lahan dan sejujurnya proses ini mengambil masa berbulan-bulan juga untuk berjaya putus susu sepenuhnya. Ada ibu yang cuma mengambil masa beberapa hari sahaja, tapi saya akui yang saya sendiri tidak kuat untuk laluinya, jadi saya mengambil pendekatan perlahan tapi konsisten setiap hari.

Perlu saya kongsikan, proses putus susu ini sebenarnya agak mencabar sebab melibatkan emosi ibu dan anak. Pendapat saya ia perlu dilakukan dengan berhemah agar emosi anak tidak tercalar dan tangki emosinya dipenuhi dengan kasih sayang walaupun melalui satu fasa yang besar dalam hidupnya-putus susu.

Paling penting, lakukanlah proses putus susu bila anak sudah sampai tempoh usianya. Usah biar anak menyusu sehingga lebih 3 tahun usianya. Pakar Perkembangan Kanak-Kanak sendiri mengatakan menyusu terlalu lama memberi impak terhadap perkembangan percakapan dan sosial anak itu sendiri.

5 tips yang saya lakukan untuk putus susu:

1. Beritahu anak dengan lembut dan jelaskan mengapa perlu putus susu.
Saya beritahu anak-anak yang mereka sudah besar dan tidak perlu menyusu dengan ibu lagi. Saya cuba beritahu setiap kali anak buat permintaan untuk menyusu.

2. Isikan tangki emosi anak.
Anak akan ekspresikan rasa kecewa apabila diberitahu yang dia tak boleh menyusu dengan ibunya, seolah dia akan hilang kasih sayang ibunya. Maka, saya gantikan dengan memeluk dan mendodoi setiap kali anak mahu tidur. Kami berpelukan erat, melakukan aktiviti menyeronokkan sehinggalah anak saya boleh tertidur sendiri tanpa perlu menyusu.

3. Alihkan perhatian anak.
Beri anak aktiviti seperti membaca buku sebelum tidur, bermain alat permainan yang menyeronokkan atau sesi bercerita setiap kali anak ingin menyusu. Dengan perbuatan mengalihkan perhatian ini akan membuatkan anak lupa permintaan untuk menyusu tadi

4. Ibu perlu kuat mental dan emosi.
Saya akui bahagian ini amat berat dan saya sendiri tidak kuat. Pengalaman pertama saya melalui proses putus susu bersama anak saya Fatimah dahulu, saya gunakan minyak peppermint dan sapu di puting payudara.

Tanpa saya sangka Fatimah terus menolak dan saya sendiri terkejut sebab tidak sangka ia secepat itu. Sepatutnya saya seronok kan? Tapi tidak ! Saya rasa proses itu berlaku agak drastik dan memujuk semula Fatimah menyusu dengan saya. Apabila melibatkan soal emosi, ia bukan sesuatu yang mudah sebenarnya.

Selepas beberapa bulan meneruskan penyusuan, saya memulakan proses putus susu bersama Fatimah semula. Walaupun kami mengambil masa beberapa bulan untuk menjayakannya, tetapi kali ini kami lebih bersedia untuk meredhai yang akhirnya Fatimah akan putus susu dengan saya.

5. Kurangkan masa dan rutin memerah.
Tips kelima ini juga penting supaya ibu tidak mengalami masalah bengkak susu yang teruk. Proses ini perlu dilakukan secara berkala beberapa bulan sebelum ibu memberhentikan proses penyusuan. Jika sebelum ni ibu memerah selama 30 minit untuk satu sesi, masa perahan boleh dikurangkan kepada 15 minit untuk setiap sesi pula.

Selepas itu, ibu boleh kurangkan sesi memerah pula. Jika sebelum ini ibu memerah sebanyak 5 kali sehari, boleh dikurangkan kepada 4 kali seterusnya 3 kali sehinggalah ibu yakin penghasilan susu sudah berkurang dan ibu tidak perlu memerah lagi.

Tetapi, amat penting untuk ibu selalu memeriksa payudara sekiranya ada ketulan susu yang berlaku. Jika ibu dapati terdapat ketulan susu, lakukan tuaman sejuk dan urutan lembut bagi mengatasi saluran susu tersumbat sebelum ia semakin melarat.

Semoga ibu-ibu yang sedang buntu untuk putus susu bersama anak, boleh membayangkan serta menggunakan tips yang telah saya kongsikan ini.

Nad Masrom
Kaunselor Laktasi

Leave a Reply