You are currently viewing 11 CARA MEMUJUK SEMULA BAYI MENYUSU DI PAYUDARA IBU.

11 CARA MEMUJUK SEMULA BAYI MENYUSU DI PAYUDARA IBU.

Bayi menolak payudara adakalanya membuatkan sesetengah ibu berasa sedih dan mahu memujuk kembali bayi menyusu pada payudara. Kami kongsikan 11 langkah yang boleh dilakukan pada bayi yang telah menolak penyusuan di payudara mungkin kerana Keliru Puting atau tidak menyusu pada payudara secara terus dari awal dilahirkan lagi.

1. Elakkan memujuk bayi menyusu di payudara ketika bayi terlalu lapar. Jika perlu, berikan bayi sedikit susu perahan melalui cawan atau botol sebelum cuba menyusukan bayi. Ini untuk memastikan bayi tenang dan lebih bersedia dengan latihan penyusuan semula di payudara.

2. Banyakkan sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi. Walaupun bayi masih belum terima payudara, beri peluang untuk bayi selesa dengan keadaan dan bau ibu dahulu.

3. Lakukan proses memujuk bayi di tempat yang selesa dan kurang bising untuk mengelakkan tumpuan bayi terganggu. Ibu boleh malapkan lampu untuk berikan suasana yang tenang kepada bayi.

4. Tawarkan payudara dengan lebih kerap dalam apa jua keadaan. Ada bayi yang boleh terima payudara dalam keadaan mamai. Ibu juga perlu mencuba untuk suakan payudara dalam keadaan bayi sudah terjaga dan tenang.

5. Lakukan perahan dahulu untuk mendapatkan LDR (let down reflex) dan ketika ini aliran susu sudah lancar. Ibu juga boleh lakukan oral stimulation therapy kepada bayi sebelum memulakan penyusuan.

6. Pujuk bayi dengan tenang dan tidak memaksa. Jika bayi menolak, elakkan memaksa bayi atau mempamerkan kekecewaan kepada bayi. Ibu boleh mencuba lagi pada waktu yang lain bila ibu dan bayi sudah bersedia.

7. Lakukan proses memujuk dalam tempoh 10 minit. Jika dalam tempoh 10 minit bayi masih enggan melekap, ibu boleh hentikan dahulu kerana biasanya bayi sudah berasa penat atau kurang berminat untuk mencuba lagi.

8. Sekiranya bayi menunjukkan tanda marah tetapi masih enggan melekap di payudara, hentikan dahulu dan beri bayi susu perahan atau susu tambahan menggunakan cawan.

9. Sekiranya bayi sudah melekap tetapi tidak menunjukkan tanda menghisap, ibu jangan runsing. Walaupun bayi hanya mengemam, itu tanda bayi sudah mula menerima payudara.

Lakukan breast compression untuk memastikan aliran susu lebih banyak mengalir ke mulut bayi

10. Jika ibu mengalami kemeruduman susu, berikan susu perahan atau susu tambahan menggunakan supplementary nursing system (SNS) ketika memujuk bayi menghisap di payudara.

Dalam keadaan ini biasanya bayi lebih mudah menerima jika payudara ‘menghasilkan’ susu yang lancar melalui SNS

11. Pelbagaikan posisi penyusuan. Ada bayi yang menolak posisi mendukung namun selesa dengan posisi yang lain, contohnya.

Tukar beberapa posisi lain seperti mendukung silang, berbaring, mendakap atau bersandar.

Ada ibu yang lebih yakin memujuk bayi kembali ke payudara dengan menggunakan nipple shield yang diletakkan di puting ibu setelah mencuba semua posisi dan bayi tetap menolak.

Namun tetap ada risiko penggunaan kaedah ini iaitu:

  • bayi mungkin sukar untuk menyusu jika tiada nipple shield
  • kurang stimulasi pada payudara
  • bayi mengambil masa yang lebih lama untuk menerima payudara tanpa alat bantuan ini.

Nad Masrom,
Kaunselor Laktasi.

Leave a Reply