Penyusuan susu ibu selepas melahirkan melalui kaedah pembedahan (C-section atau Czer) mungkin mencabar, tetapi bukan mustahil. Dengan perancangan awal dan sokongan yang tepat, ramai ibu berjaya menyusukan bayi mereka selepas pembedahan.
Mommies boleh cuba tips di bawah untuk memulakan perjalanan penyusuan dengan lebih yakin dan tenang.
1. Pilih Hospital Mesra Penyusuan Sebelum Bersalin
Pemilihan hospital sangat penting, terutamanya jika mommies bercadang untuk menyusukan bayi selepas bersalin. Cari hospital yang mengamalkan Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) atau yang menyokong penyusuan susu ibu selepas pembedahan.
2. Lakukan Skin to Skin Seawal Mungkin Selepas Pembedahan
Selepas pembedahan, skin to skin contact (sentuhan kulit ke kulit) masih boleh dilakukan jika ibu dan bayi berada dalam keadaan stabil. Kaedah ini merangsang hormon penyusuan dan membantu penghasilan susu.
3. Rangsangan Awal untuk Merangsang Penghasilan Susu
Jika mommies dan bayi perlu dipisahkan selepas pembedahan, mommies masih boleh memulakan rangsangan pengeluaran susu dengan teknik marmet (perahan tangan) atau urutan lembut payudara sejurus bayi lahir.
4. Mulakan Penyusuan Mengikut Keselesaan & Posisi Sesuai
Penyusuan perlu dimulakan sesegera mungkin, mengikut situasi mommies. Posisi penyusuan yang sesuai boleh dicapai dengan mencuba pelbagai posisi yang tidak mengganggu luka pembedahan.
5. Dapatkan Bantuan & Sokongan Kaunselor Laktasi
Sekiranya mommies mengalami kesukaran untuk menyusu, jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan dari kaunselor laktasi bertauliah. Mereka boleh memberikan tunjuk ajar tentang posisi, pelekapan yang betul, dan isu-isu lain berkaitan penyusuan. Mommies boleh mencari kaunselor bertauliah di hospital, klinik kesihatan, atau secara online.
Penyusuan selepas czer adalah tidak mustahil dengan ilmu dan sokongan dari pihak sekeliling. Penyusuan selepas pembedahan mungkin memerlukan sedikit usaha tambahan, tetapi ia sangat berbaloi untuk bayi dan ibu. Dengan pemilihan hospital yang tepat, rangsangan awal, posisi menyusu yang sesuai, serta bantuan profesional, mommies pasti mampu melakukannya.