Istilah gagal dalam penyusuan ni sebenarnya tak wujud.
Baca sampai habis dahulu apa saya mahu kongsikan.
Saya ada bertanya pendapat ibu-ibu tidak lama dahulu mengenai isu ini. Apa yang menyebabkan ibu rasa gagal dalam penyusuan?
Ramai yang memberi jawapan kerana ‘kata-kata orang lain’.
Situasi yang sama juga bila ibu diberikan cadangan oleh doktor dan jururawat yang tidak pro penyusuan untuk campur susu rumusan, akhirnya siapa yang perlu buat keputusan?
Benar mereka ‘salah’ mencadangkan. Tapi kita juga perlu tahu memilih keputusan yang terbaik untuk anak kita ialah jatuh di bahu kita.
Saya cuba kaitkan situasi ini dengan sukarnya bila kita nak mula buat senaman. Nak berjogging, skipping, buat work out tu hakikatnya tak mudah bila nak bermula.
Saya nak tanya yang baca post saya ni, berapa ramai yang ada cita-cita nak sihat, nak mulakan aktiviti senaman, nak kurus TAPI belum cuba buat lagi?
Jawab dulu sebelum teruskan baca. Kalau jawapannya belum, sebab apa? Mungkin ada juga yang dah pernah buat sebelum ni tapi berhenti dan susah nak mulakan balik kan?
Pernah tak kalian cakap, ” Aku mak yang gagal sebab gagal bersenam setiap hari…”? Kenapa jarang kita sebut gagal bab ni berbanding dengan isu menyusu? Sebab mak memang ada cita-cita nak bersenam tapi ada banyak sebab mak tak mulakan. Atau lebih tepat mak belum bersedia. Cuma kita rasa tenang sahaja sebab ramai mak yang memang tak buat aktiviti senaman ni.
Cuba bayangkan kalau setiap rutin dijadikan perbandingan untuk tengok aspek kegagalan (bukan setakat menyusu tapi cara masak, lipat baju, pakai tudung dan lain-lain) maka makin stresslah kita sebab asyik ‘gagal’ sahaja.
So siapa yang label gagal ni sebenarnya? Orang lain mungkin persoalkan apa yang kita buat. Tapi selalunya yang melabel diri sebagai gagal ni ialah DIRI KITA SENDIRI !
Hakikatnya kita bukan gagal, cuma belum berjaya. Kita sendiri kena ubah persepsi ini dan usah meletakkan semua kegagalan di atas bahu sendiri. Jika orang lain yang melabel kita, abaikan mulut puaka ini dengan menjauhi mereka dan carilah circle yang supportive.
Berbalik kepada isu penyusuan, DUA faktor yang menyebabkan ibu belum berjaya ialah:
1. Belum ada ilmu yang mencukupi.
2. Belum bersedia.
Hakikatnya ramai ibu yang ada ilmu tapi belum bersedia.
Bersedia dari segi apa? Emosi, fizikal dan minda.
Minda ni paling mencabar sebab ia berkait rapat dengan keadaan emosi dan fizikal kita. Bila badan penat tak cukup tidur, emosi mula tak stabil. Masa tu otak dah mula celaru dan perasaan nak putus asa tu sentiasa datang. Ibu-ibu perlu tanya diri, selama kita berkahwin dan mengambil keputusan untuk menjadi ibu ayah, adakah kita benar-benar bersedia?
Kerana hakikatnya banyak cabaran yang kita sedia tahu perlu dilalui. Tak mengapa kalau kita dah lalui pengalaman sebelum ni dalam keadaan kurang bersedia dan kurang matang. Banyak kekurangan yang kita dah lihat dan boleh diperbaiki.
Hakikatnya tiada seorang ibu pun yang sempurna di dunia ini. Tapi ibu yang terbaik ialah mereka yang berusaha lakukan yang terbaik untuk hari ini berbanding semalam.
Jadi ibu-ibu, kita bukan gagal. Cuma belum berjaya. Jika kita dah buat keputusan yang terbaik, kenapa masih nak rasa sebagai ibu yang gagal? Adakah kerana kita mula rasa bersalah dan cuba meletakkan salah itu kepada orang lain?
Jom perbaiki persepsi dan tidak melabel diri sebagai ibu yang gagal lagi.
Nad Masrom
Kaunselor Laktasi