
Penggunaan botol susu bukanlah dilarang selama-lamanya. Ibu yang bekerja masih perlu melatih bayi untuk minum susu perahan melalui botol apabila tiba masanya.
Walau bagaimanapun, elakkan penggunaan puting botol untuk pemberian susu dalam tempoh awal kelahiran, terutamanya dalam 30 hari pertama.
Ini kerana bayi mudah mengalami kekeliruan puting sekiranya diperkenalkan dengan botol terlalu awal daripada waktu yang sesuai. Apabila kekeliruan ini berlaku, ia boleh menyukarkan proses untuk mengembalikan bayi menyusu secara langsung daripada payudara.
Hal ini disebabkan mekanisme hisapan bayi pada puting tiruan tidak sama seperti ketika menyusu di payudara. Maka, tidak menghairankan jika bayi yang telah terbiasa dengan puting tiruan enggan kembali menyusu secara langsung.
Ini kerana aliran susu daripada botol lebih mudah dan laju berbanding dengan penyusuan terus dari payudara, yang memerlukan usaha dan teknik hisapan yang lebih kompleks oleh bayi.
Sebagai analogi, ia seperti seseorang yang belum mahir memandu kereta manual tetapi terus menggunakan kereta automatik. Setelah terbiasa dengan kereta automatik, sukar untuk kembali memandu kereta manual tanpa latihan yang mencukupi.
Begitu jugalah dengan bayi. Kebiasaannya, bayi akan mahir menyusu di payudara dalam tempoh 4 hingga 6 minggu selepas kelahiran. Selepas tempoh ini, memperkenalkan botol tidak lagi menjadi isu besar, dan boleh dilakukan dengan lebih mudah.
Sekiranya bayi perlu diberikan susu oleh orang lain sebelum berumur 4 minggu atas sebab-sebab tertentu, penggunaan cawan atau sudu adalah disarankan, dengan teknik yang betul.
Namun, jika bayi sudah pun menunjukkan penolakan terhadap penyusuan di payudara, ibu tidak perlu berputus asa. Dengan pendekatan yang sesuai dan penuh kesabaran, bayi masih boleh dilatih semula untuk menyusu terus dari payudara.