Posisi Menyusu Secara Baring: Perlu ke Ampu Kepala? Ini Jawapannya untuk Ibu Menyusu!
Posisi menyusu baring adalah antara teknik penyusuan yang digemari ibu, terutamanya ketika berpantang atau waktu malam. Namun, ramai ibu masih keliru perlu ke sokong kepala semasa menyusu secara baring? Bagaimana pula dengan posisi tangan?
Dalam artikel ini, kami kongsikan tips posisi menyusu baring yang betul, serta kesilapan biasa yang patut dielakkan demi keselesaan dan keselamatan ibu serta bayi.
Kesilapan Biasa: Menongkat Kepala Guna Tangan
Ramai ibu secara automatik menyokong kepala menggunakan tangan semasa menyusu baring. Nampak mudah, tapi sebenarnya:
Anda perlu menegakkan tangan sepanjang 10–30 minit sesi penyusuan. Ini menyebabkan tangan cepat lenguh. Leher juga boleh menjadi tegang atau sakit kerana kedudukan kepala yang tidak stabil. Menongkat kepala dengan tangan bukan sahaja tak selesa, tetapi boleh menjadi berbahaya jika ibu tertidur secara tidak sengaja semasa menyusu.
Bahaya Menongkat Kepala Ketika Menyusu Baring
Apabila ibu dalam keadaan penat dan tertidur semasa menyusu baring dengan kepala disokong tangan:
- Risiko menghempap bayi meningkat, terutama jika kedudukan badan tidak stabil.
- Kedudukan tangan atau badan yang menghalang saluran pernafasan bayi boleh menyebabkan bahaya seperti lemas atau sesak nafas.
Cara Betul Menyusu Secara Baring Tanpa Menongkat Kepala
Untuk memastikan anda dan bayi sama-sama selesa semasa menyusu secara baring, ikut panduan ini:
- Gunakan bantal sokongan.
- Letakkan bantal di bawah kepala atau bahu, bukan di bawah tangan. Laraskan ketinggian ikut keselesaan.
- Baring mengiring dengan selesa.
- Letakkan badan dan bayi dalam posisi mengiring, menghadap satu sama lain.
- Tangan diluruskan atau diselit bawah bantal.
- Elakkan dari menongkat kepala dengan tangan. Anda boleh luruskan tangan atau letakkan di bawah bantal untuk sokongan leher yang lebih stabil.
- Pastikan mulut bayi melekap penuh pada areola, bukan hanya pada puting.
- Pastikan permukaan tilam rata dan bayi tidak tenggelam dalam bantal atau selimut tebal.
Menyusu secara baring memang praktikal, terutama waktu malam, tapi perlu dilakukan dengan teknik yang betul dan selamat. Elakkan menyokong kepala dengan tangan kerana ia boleh menyebabkan keletihan dan risiko keselamatan kepada bayi.