You are currently viewing Bagaimana susu ibu mengurangkan Kuning(Jaundis) Bayi?

Bagaimana susu ibu mengurangkan Kuning(Jaundis) Bayi?

Neonatal jaundice atau istilah lain yang biasa digunakan iaitu ‘bayi kuning’ berlaku dikalangan bayi yang baru dilahirkan.

Penyusuan susu ibu adalah langkah TERBAIK untuk mengurangkan masalah jaundis ini.

Namun, ramai yang menyarankan ibu untuk hentikan penyusuan susu ibu dan mencadangkan tips seperti memberi bayi titisan air perahan buah anggur atau gantikan pemberian susu ibu dengan pemberian susu formula pula kerap diberikan sebagai alternatif untuk mengurangkan masalah jaundis. Benarkah ia berhasil?

Satu kebimbangan ialah apabila ibu-ibu terus melakukan cadangan di atas sebagai langkah untuk mengurangkan kuning bayi yang akhirnya memberi kesan kepada bayi itu sendiri seperti masalah kepada usus bayi yang belum matang, cirit-birit, berkahak dan masalah lain.


Apa anda perlu tahu  mengenai Jaundis dan bayi?

  • Jaundice pada bayi berlaku kerana darah bayi mengandungi bilirubin (iaitu sejenis bahan yang dihasilkan melalui penguraian sel darah merah). Badan bayi akan kelihatan kekuningan kesan daripada kandungan bilirubin.
  • Bayi jaundice selalunya lebih suka tidur dan jarang bangun menyusu. Jadi, ibu-ibu perlu kejutkan dan pastikan bayi menyusu dengan kerap.
  • Posisi lekapan juga amat penting supaya bayi mendapat susu yang mencukupi terutama hindmilk sewaktu proses penyusuan.


Bagaimana susu ibu boleh membantu mengurangkan Jaundis?

  • Bilirubin yang diproses di hati akan disimpan sebagai bile salt dalam hempedu.
  • Bile salt hanya akan dirembeskan dari hempedu bila terdapat lemak dalam susu. Bile salt dirembeskan dari hempedu ke duodenum usus adalah bertujuan untuk mencernakan lemak.
  • Untuk memastikan bilirubin disingkirkan dari hempedu, pastikan susu ibu mengandungi LEMAK yang mencukupi.
  • Untuk mendapatkan kandungan lemak dalam susu, ibu perlu menyusukan bayi sekurang-kurangnya 10-15 minit untuk pastikan HINDMILK (susu yang lebih pekat dan mengandungi lemak) keluar dan diterima oleh bayi. (Penyusuan kurang dari tempoh ini hanya akan memberikan bayi foremilk (susu yang kelihatan lebih cair kerana kurang lemak). Sudah tentulah LEMAK dari susu ibu lebih mudah dicernakan dan tidak akan membebankan usus bayi.
  • Penyusuan yang kerap dalam tempoh yang betul akan memberikan peluang bilirubin disingkirkan dari badan sebagai najis yang berwarna kuning dengan lebih cepat. Serta akan mempercepatkan proses penurunan masalah kuning bayi itu tadi.

Ibu-ibu perlu pastikan:

1. Posisi lekapan penyusuan mestilah betul. Posisi yang salah akan menyebabkan bayi tidak mendapat susu yang mencukupi terutama susu hindmilk.
2. Jika bayi hanya menyusu sekejap-sekejap kerana tertidur, kejut bayi dengan cara urutan lembut, kayuhan basikal dll agar bayi terjaga dan dapat menyusu dengan lebih lama.
3. Kerapkan penyusuan susu ibu 1-2 jam sekali agar penyingkiran bilirubin dari badan bayi lebih cepat berlaku.
4. Jika bayi ditahan di wad, ibu bolehlah memerah untuk bekalkan susu perahan kepada bayi.
5. Kolostrum lebih mudah diperah menggunakan teknik Marmet (perahan tangan) berbanding pam.

Nad Masrom,
Kaunselor Penyusuan.

Leave a Reply