Ramai ibu baru yang keliru:
“Perlu ke cuci puting dulu sebelum susukan bayi?”
Ada yang kata susu ibu berisiko kuman jika tak cuci dahulu. Tapi sebenarnya, payudara ibu dah ada sistem semula jadi untuk kekal bersih dan selamat. Jom fahami anatomi payudara dan kenapa tak perlu cuci puting sebelum menyusu secara terus.
Payudara Ibu Ada Sistem Pembersihan Semula Jadi
Tak ramai tahu bahawa kelenjar di sekitar areola sebenarnya menghasilkan cecair antibakteria yang menjaga kebersihan puting. Cuci berlebihan atau menggunakan sabun antibakteria boleh ganggu sistem semula jadi ini.
Kenali Struktur Payudara: Puting, Areola & Kelenjar Montgomery:

1. Puting (Nipple)
- Tempat susu keluar, melalui 7–10 bukaan kecil secara purata.
- Mengandungi duktus susu, sel saraf dan otot, yang menjadikan puting fleksibel.
- Boleh berubah saiz dan bentuk ketika mengandung dan menyusu.
- Masalah seperti puting rata atau puting terbalik (inverted nipple) boleh diatasi dengan teknik penyusuan yang betul.
2. Areola
- Bahagian berwarna gelap di sekeliling puting.
- Saiz purata sekitar 6.4 cm, tetapi berbeza setiap wanita.
- Semasa hamil, warnanya menjadi lebih gelap untuk bantu bayi ‘mengenal pasti’ puting dengan lebih mudah dan sangat berguna kerana penglihatan bayi baru lahir masih kabur.
3. Kelenjar Montgomery
- Titik-titik kecil berwarna putih di sekitar areola.
- Menghasilkan cecair semula jadi untuk melembapkan puting.
- Kelenjar ini juga merembeskan faktor-faktor yang menghalang pertumbuhan bakteria di putting
- Bau semula jadi yang dikeluarkan membantu menarik bayi ke arah puting, memudahkan proses penyusuan.
- Secara purata, terdapat kurang dari 10 kelenjar montgomery pada areola. Namun ada juga wanita yang mempunyai lebih banyak kelenjar ini.

Penyusuan secara Direct Feeding Lebih Selamat Berbanding Botol
Bagi mommies yang menyusukan bayi secara terus (direct feeding), tiada keperluan untuk mencuci puting sebelum setiap sesi. Malah, terlalu kerap mencuci boleh menyebabkan kulit kering, iritasi atau luka.
Sebaliknya, lebih penting untuk beri perhatian kepada:
✅ Kebersihan pam susu dan corong
✅ Cara penyimpanan susu perahan
✅ Sterilisasi peralatan menyusu
Masalah sebenar bukan pada payudara, tapi pada corong pam susu atau botol susu yang tak dicuci dengan betul. Ini boleh jadi tempat pembiakan bakteria yang berisiko untuk bayi. Jadi mommies, tak perlu cuci puting setiap kali nak susukan bayi. Tubuh ibu memang hebat sebab ia dah ada sistem untuk bersihkan dan lindungi puting secara semula jadi.