You are currently viewing NAIKKAN DEMAND DENGAN TEKNIK RAHSIA?

NAIKKAN DEMAND DENGAN TEKNIK RAHSIA?

Sebenarnya, apabila bercakap tentang ilmu penyusuan, tiada apa-apa yang bersifat rahsia pun.
Segala ilmu berkaitan penyusuan boleh difahami dan dipelajari secara terbuka, berdasarkan fakta dan bukti saintifik yang sahih. Maka, penting untuk ibu-ibu mendapatkan maklumat yang betul daripada sumber yang diyakini.

Berhati-hatilah apabila menerima nasihat daripada individu yang mendakwa diri mereka berilmu dalam bidang penyusuan, tetapi sebenarnya mempunyai kepentingan peribadi.
Ada segelintir pihak yang menggunakan gelaran ‘pakar’ atau ‘berpengalaman’ hanya untuk memanipulasi emosi dan kepercayaan para ibu, demi meraih keuntungan tertentu seperti menjual produk atau servis yang tidak terbukti keberkesanannya.

Ibu-ibu perlu tahu bahawa untuk meningkatkan pengeluaran susu, atau ‘demand’, prinsipnya sangat mudah dan tidak melibatkan sebarang teknik rahsia:

Tingkatkan kekerapan pengeluaran susu, sama ada dengan penyusuan secara terus (direct feeding) ataupun dengan menggunakan pam. Lebih kerap susu dikeluarkan, lebih banyak isyarat dihantar kepada badan untuk menghasilkan susu baharu.

Pastikan lekapan bayi semasa menyusu adalah betul. Lekapan yang tidak sempurna bukan sahaja menjejaskan keberkesanan penyusuan, malah boleh menyebabkan masalah seperti saluran susu tersumbat (blocked duct) atau bengkak susu.

Gunakan saiz corong pam yang sesuai. Corong pam yang tidak sesuai dengan saiz puting boleh menyebabkan ketidakselesaan, luka, dan mengurangkan kecekapan pam dalam mengosongkan payudara.

Jangan mudah percaya dengan dakwaan tentang teknik rahsia untuk meningkatkan ‘demand’ yang tidak mempunyai asas kajian atau bukti saintifik.
Sesetengah teknik yang dipopularkan, seperti ‘menjarakkan sesi pam’, boleh mendatangkan kesan buruk terhadap penghasilan susu jika tidak difahami dengan betul. Teknik yang tidak berdasarkan sains ini boleh merugikan ibu dan mengganggu proses penyusuan secara semula jadi.

Jadilah ibu yang bijak dan berilmu.
Jangan mudah terpedaya atau dimanipulasi oleh individu atau pihak yang menggunakan isu penyusuan sebagai alat untuk meraih keuntungan, walhal niatnya bukan semata-mata untuk membantu ibu menyusu.

Melaburkan ratusan ringgit hanya untuk mendapatkan ‘teknik rahsia’ yang kononnya eksklusif adalah satu bentuk pembaziran, terutamanya apabila teknik tersebut tidak mempunyai sebarang bukti yang menyokong keberkesanannya.

Saya masih terus berada di sini kerana saya mahu melindungi para ibu daripada terpengaruh dengan golongan seperti ini.
Saya ingin ibu-ibu tahu bahawa tiada jalan pintas atau rahsia tersembunyi dalam dunia penyusuan. Apa yang penting ialah ilmu yang sahih, bimbingan yang betul, dan sokongan yang tulus.

Kadang-kadang apa yang mereka katakan kedengaran menarik dan meyakinkan, seperti:

🔸 “Anak tak perlu menyusu lama.”
🔸 “Ibu boleh berehat lebih lama.”
🔸 “Anak kenyang lebih lama walau menyusu sekejap.”

Namun, berhati-hatilah. Ayat-ayat seperti ini boleh jadi sangat mengelirukan dan membawa kesan jangka panjang kepada kejayaan penyusuan anda. Sentiasa kembali kepada asas dan ilmu yang betul.

Leave a Reply