👶 Bayi “Reject” Payudara Pada Usia 3 Bulan? Ini Punca Sebenarnya!
Kerapkali ibu menyusu mengadu, bayi tiba-tiba tolak payudara pada usia 3 bulan. Kenapa ia berlaku? Adakah Keliru Puting atau Nursing Strike (Mogok Menyusu)?
Rata-rata akan berpendapat bayi alami nursing strike. Mari kita fahami dulu:
Nursing Strike berlaku bila bayi yang sebelum ini menyusu dengan baik, kemudian secara tiba-tiba menolak payudara dengan sebab yang tidak pasti.
Kenapa fasa ini kerap berlaku pada usia 3 bulan?
Ia sangat berkait rapat dengan perkembangan mental bayi.
Ibu-ibu tak perlu terlalu bimbang selagi bayi dalam keadaan sihat. Saya akui ramai yang akan bersedih dan sukar untuk terima hakikat bila di’reject’ oleh bayi sendiri. Saya sendiri lalui pengalaman yang sama dengan Fatimah.
Dari situlah saya belajar mengapa anak saya alami ‘nursing strike’ pada usia 3 bulan. Anehnya, bila diberi botol bayi elok je menyusu.
“KELIRU PUTING DAH TU!” – kata si polan
Maka ibu yang terkial-kial mencari jawapan menjadi lebih keliru. Diajar botol selepas usianya 30 hari. Kenapa tiba-tiba keliru puting sedangkan sebelum ini bayi menyusu tanpa masalah di payudara.
Pada usia 3 bulan, bayi mula merasakan banyak sensasi baru:
- Kawalan Pergerakan: Jika sebelum ini pergerakan bayi tidak terkawal (involuntary movement), kini bayi mula belajar mengawal tangan, mata, dan menghisap jari dengan lebih sengaja.
Kalau usia bawah 3 bulan, kita seringkali lihat tangan dan kaki bayi bergerak tanpa henti dan penjelasan Pakar Paediatrik (juga sifu penyusuan saya, Dr Hairin Anisa) bahawa itu adalah ‘involuntary movement’.
- Tafsiran Otak: Bayi sudah boleh melihat pergerakan objek, berpaling ke arah bunyi, dan otak bayi sedang memproses banyak maklumat dari persekitaran.
Adakah Ini Keliru Puting?
Jadi, bertenanglah ibu-ibu. Jangan dipaksa bayi untuk menerima payudara serta-merta.
Apabila bayi lebih mudah menerima botol ketika fasa ini, jangan terus menghukum bayi mahu wean off atau keliru puting.
Mekanisme botol lebih mudah berbanding penyusuan terus yang melibatkan proses menghisap, menggerakkan lidah, dan menelan yang lebih kompleks. Apabila otak bayi sedang “sibuk” dengan perkembangan baru, mereka mungkin memilih cara yang paling kurang usaha (botol).
Apa Yang Ibu Perlu Buat?
- Bertenang & Jangan Paksa: Jangan paksa bayi menerima payudara serta-merta. Emosi ibu yang tenang membantu anda memahami tingkah laku bayi tanpa rasa kecewa.
- Gunakan Waktu “Mamai”: Biasanya bayi tidak menolak secara terus. Cuba susukan ketika bayi sedang kurang awas atau mamai, kerana selalunya mereka akan menyusu seperti biasa.
- Perhatikan Kesihatan Bayi: Jika bayi masih sihat, gembira, dan berat naik, ibu tidak perlu terlalu bimbang.
- Bina Hubungan: Teruskan bermain dan bercakap dengan bayi. Pada usia ini, bayi sudah mula mengenali perasaan sedih, rindu, dan gembira.
Kesimpulannya: Ini hanyalah satu fasa. In shaa Allah, selepas beberapa ketika, bayi akan menerima payudara semula dengan baik. Teruskan memberi sokongan dan kasih sayang tanpa berputus asa!